Thursday, January 29, 2015

.. ketika ia telah jatuh kecewa





Perihal hati itu, ketika kau kecewa
ketika kau berduka
dan ketika ia telah jatuh sengsara
Kuatkanlah ia kembali dengan kembali padanya.

Laungan, hilaian dan pekikan hati sengsara
Tak akan sirna jika muka buku sebagai medan utama
Jeritan batin hati bukan mudah dihalau seperti kau sangka
Hamparkan sejadah, tundukkan kepala, pohonlah dengan merendah
Agar kau lebih memahmi erti simpuhan di depan Rabb
Itulah segalanya.

Ramai mengata, sabar adalah ubat kecewa
Ia benar, tetapi biar seiring taqwa
Mesti kau ingat wahai hati
Tatkala taqwa sudah hilang sabar juga akan kecundang
Terus menangis mengadu rasa pada-NYA
Yang tak akan pernah menghilang.

Kecewa mungkin menyebabkan hidup cerah
bertukar kelam. Hati yang damai mulai terbungkam
Tetapi itu tidak pada mereka yang berpegang
Tuhan adalah penenang apa yang terpendam

Sengsara bukanlah idaman
Bahagia sepanjang zaman jua bukan kehidupan
Apa yang ada ini diteruskan
Hari di dunia ini terlalu singkat
Untuk mereka kekal demikian

Lunturkan hati, tautkan kembali azam
Berdiri teguh dan terus melangkah
Tinggalkan saja memori suram
Untuk menanti harapan yang cerah

Hidup ini.. Beginilah ia!


Jambi, Indonesia @ 29 Januari 2015
9.21 p.m






Monday, January 26, 2015

Merotan dan Jenayah.. Jika Sazali tahu.

"Kalaulah 10 tahun dulu bapak pukul Sazali, tentu sekarang Sazali tidak jadi begini....tapi sekararang sudah terlambat bapak. Sudah terlambat....."

Menyingkap hikmah Filem "Anakku Sazali"


Dialog filem Anakku Sazali seusia separuh abad itu terus kita ingati saat ini. Bagaimana rasa kasih dan cinta si ayah itu dimenifestasikan dalam bentuk membabi buta. Kasih yang mulia tetapi pengolahan kasih dimaknai hanya semata-mata kasih akhirnya hanya membuahkan sebuah penyesalan dan tangisan.

Filem yang diulang entah berapa kali di layar televisyen itu ingin memperingatkan kita bahwa bertegas dengan anak harus di usia dinihari lagi. Dan salah satu cara mendidik tentu dengan memukul. Memukul sebatas cara sekadar tanda. Bukan mendera!


Mendekati akhir-akhir zaman ini berlaku banyak berita dan kenyataan yang sangat mengelirukan. Baru saja kita dikejutkan dengan cadangan mewujudkan sebuah akta baru dari seorang menteri bahawa ibu bapa yang merotan anak boleh dikira sebagai suatu kesalahan jenayah. Wah, ini parah!

Sazali yang kepala samseng pun menegur kesalahan bapanya kerana tidak merotannya ketika dia kecil. Ini adalah bukti Sazali lebih bijak dan mengerti rotan untuk mendidik ketika usia dinihari bukanlah suatu jenayah!

Berjaya kerana rotan

Soalan yang sama telah saya utarakan kepada beberapa orang sahabat dan guru-guru yang pernah mendidik. Apakah ketika usia mereka kanak-kanak pernah dirotan oleh ibu bapa? Jawab mereka,
"Ya kami pernah dirotan dan akibat rotan inilah buat kami berjaya. Sehingga kini kami tidak menganggap ia jenayah ibu bapa kepada kami."
Mungkin dulu sudah timbul beberapa kes guru didakwa ekoran kesalahan mereka merotan anak murid. Tidak hairan selepas ini jika muncul ibu bapa didakwa atas kesalahan merotan dan bergelar banduan hasil laporan dari anak-anak mereka.

Jika P. Ramlee hidup dia juga pasti berasa sedih seperi mana kesedihan saya membaca kenyataan menteri itu. Betapa negara kita masih dijajah dengan undang-undang yang tidak berada di atas acuan agama dan sosio-budaya ini.

Perihal Abah dan rotan

Masih ingat lagi kenangan yang dulu. Hampir sepuluh tahun peristiwa ini berlaku. Saya merasakan ia suasana tarbiah yang baik cuba dibentuk oleh abah. Seusai solat maghrib, saya dan tiga orang lagi adik akan ke ruang tamu untuk di 'spotchek' oleh abah berkaitan dengan solat kami.

Tentu sekali, rotan ber'salotep' hijau itu sentiasa menemaninya di tangan kanan. Abah akan tanya satu persatu kepada kami apakah solat kami pada hari itu dilengkapi kesemuanya sampai ke Maghrib. Mungkin menyangka boleh cuba menipu, tetapi tidak semudah itu kerana mak akan menjadi juru dakwa kepada kami.

Mak akan menjadi saksi pada kami. Apakah kami telah sempurnakan waktu solat atau belum. Tugasnya adalah dengan menjadi pengawal yang setia di samping kami ketika solat. Abah menetapkan tiada istilah solat di bilik tidur! Hanya boleh solat di ruang tamu. Harus solat ketika mak dapat lihat dan menjadi ini sebagai bukti bahawa kami sudah solat.


Ketika saatnya untuk diperiksa oleh abah. Mak akan ada di sisi abah, tugasnya memujuk kembali adik bongsu yang akan menangis setelah dihukum. Saya? tentunya menangis di dalam bilik. 

Jika jawapan kami lulus dan di iyakan oleh mak, selamat. Namun jika jawapannya tidak. Piapp! rotan itu menghinggap di tangan atau telapak kaki.

Peristiwa ini sudah lama berlalu, namun sehingga kini saya melihat itulah tarbiah yang abah cuba wujudkan. Dia ingin membentuk corak keluarga yang baik dan didikan dengan rotan ketika perlu. Tak pernah abah merotan kami tanpa sebab. Jika rotan itu hinggap, tentunya bersebab!

Jika abah ke luar negeri atas tugasan kerja, mak akan mengambil alih. Kaedah mak agak berbeza. Rotan itu diselawatkan dulu dengan air, kemudian rotan menghinggap tangan. Sakitnya? mungkin kurang sedikit nak dibandingkan dengan abah yang merotan. Berkatnya? saya yakin ada.

Islam dan rotan

Islam adalah agama kasih sayang dan bukan atas nama Islam ibu bapa boleh memukul anak-anaknya. Pukulannya itu tetap punya cara, tetap punya acuan. Pukulan itu bukan kerana marah dan emosi yang menggila, tidak lain sekadar penegasan penuh kasih sayang agar tidak mengulangi kesalahan mereka.

“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Rotanlah di tempat yang tidak sensitif

Dalam Islam sendiri, bukan semua tempat boleh dijadikan tempat untuk dipukul. Memukul anak-anak di bahagian sensitif seperti leher dan muka dan meninggalkan kesan itu tidak sunnah! 

Pukulan dan merotan tentunya bukan cara utama dan tujuan. Cara yang lebih insentif tentunya dengan memujuk dan membawa contoh teladan yang baik kepada anak. Manakala menggantung rotan di dalam rumah adalah sebagai simbol melambangkan ketegasan dalam mendidik bukan mendera.

Islam memberi ruang penuh dalam pendidikan. Hadis di atas menerangkan memukul mereka ketika usia mencapai sepuluh tahun dan memberi peringatan ketika usia tujuh tahun adalah satu singnifikan yang jelas. Tempoh yang diberi selama tiga tahun menunjukkan Islam lebih mengutamakan pendidikan dan nasihat sebelum hukum.

Harapan buat menteri

Sebelum menteri berkenaan menggubal akta baru itu adalah lebih baiknya bertemulah dengan alim ulama'. Tanyalah kepada mereka apakah acuan yang tepat dalam membentuk keluarga yang bebas dari penderaan kepada anak. Bukannya menganggap apa saja kelakuan akibat merotan anak semuanya adalah jenayah.

Saya tertanya tanya, apakah ini nilai moderat (wasatiyyah) yang ingin dipacu oleh negara ini. Harapnya tidak! Kerana nampak kita pula yang menunduk dengan idea-idea liberalisme. Jangan kerana kepentingan peribadi kita menggadai prinsip. Mudah-mudahan Allah memelihara.

Rujuklah jabatan agama, mufi dan mereka yang ber'authority'. Malaysia belum ketandusan lagi cerdik pandai dan pemikir Islam yang kritis. Semoga ke arah yang lebih baik dalam membentuk keluarga yang musleh.

Jambi, Indonesia @ 26 Januari 2015
7.45 PM






Sunday, January 25, 2015

Roman-Cinta yang indah!

"Sehari hari, ada saja fotonya yang diupload di laman muka buku itu. Lambakan komen memuji dan mendoakan tak henti-henti menempek pada foto yang di upload. Mana tidaknya dipuji, foto itu adalah adalah gambar dia dan suami tercinta... dilihat sangat intim."

Cinta suci tampak mual


Berpeluk, cumbuan mesra menjadi perkara biasa. Tentu saja kerna mereka sudah halal dan bergelar suami isteri. Sungguh! ia nampak mesra tanpa menafikan mungkin ramai yang memuji. Cumanya jangan dilupa, waspada juga pada mata-mata yang sentiasa berdengki dan ada iri hati. Tujuan cinta adalah sampai ke syurga. Kita tak harap pujian ahli dunia, hanya di cari redha dari-NYA.


Tidaklah penulisan ini cuba menghalang penzahiran cinta dari pasangan-pasangan ini, cumanya dimohon agar bisa penzahiran cinta itu sebatas rasa yang sederhana bila dipaparkan kepada umum. Tidak keterlaluan dan menonjol sehingga mereka mulai loya dan mual. Sangat tidak logik bila ada yang mual pada cinta suci dan halal tetapi inilah hakikat bila ia didedahkan dengan melampau.

Kongsilah detik bahagia suami isteri secara sederhana gaya yang sopan dan tidak secara keterlaluan. Aksi peluk, cumbuan dan luahan cerita cinta di dalam kamar anda itu simpan saja di dalamnya.


Cinta Bukan tuhan


Cinta hanya derapan rasa dari luahan hati yang asyik pada sesuatu. Ia sekadar perasaan bukannya tuhan! Tidak semua kehendak cinta wajib dipenuhi. Ketika merasakan cinta yang suci itu sudah melanggar norma-norma dan batas sifat manusia yang fitrah. Halangilah ia dari terus melebar.

Kita khuatir penyakit roman cinta berlebih menimpa asatizah yang baru bernikah menular tanpa henti. Ia ibarat virus, laju tapi sukar dibendung. 



Kita faham tentang usaha menampakkan masing-masing sayang dan cinta kepada pasangan. Tetapi bila berlebihan rasa itu dipaparkan di laman sosial tentunya ia banyak membuka ruang pintu kejahatan dan fitnah dari tangan-tangan yang dengki.

Janganlah sampai gambar suami sakit sehingga menampakkan auratpun ingin ditonjolkan. Si suami yang sedang tidur di ruang tamu ingin dihebohkan, dan isteri merajuk di dapur pun ingin diberitakan? 


Rasionallah, apakah ada manfaat jika dihebohkan penuh keterujaan. Tidak lain hanya sedikit membuka seluruh rahsia dan pekung rumah tangga.

Wahai yang tercinta, ujian dari tuhan tak akan berakhir sampai kita mati. Apatah lagi nikah itu adalah ibadah tentunya syaitan akan cuba mencari peluang untuk membantutkan usaha dari terus melaksana pahala dan meraih redha tuhan. 

Kerana cinta hanyalah alat dan bukan tujuan pastinya perlu dimanfaatkan untuk capai tujuan yang benar dari tuhan yang Maha Benar.

Hidupkan romancinta yang tulen.


"Romancinta” di atas tajuk ini membawa maksud perasaan romantis di dalam cinta atau merasa cinta di dalam hati. Perasaan yang sangat dalam di dalam hati yang tidak terzahir hanya sekdar ungakapan tapi pada rasa yang tulen.

Mari hidupkan romancinta yang tulen. Jesteru lihat saja tokoh dan cendekiawan Islam yang hebat, jarang sekali mereka memaparkan wajah isteri dan betapa romantisnya mereka ketika bersama. Tetapi di satu sudut jauh, kita percaya mereka hebat pada saat ini pasti di baliknya mempunyai isteri yang juga kuat.



Romantis hanyalah perihal alam rumah tangga, bukan sebagai berita yang bertalu di laman sosial. Pandailah kita membatasi dan menjaganya. Sayang isteri biarlah dia saja yang tahu, cinta suami biar dia saja yang rasa.

Buat pasangan yang sudah berbaitul muslim, selamat diucapkan. Ciptalah keindahan rasa dan cinta yang baik itu di bawah lembayung redhanya. Roman-Cinta itu indah!

Jambi, Indonesia @ 25 Januari 2015
11.18 p.m