Tuesday, January 21, 2014

Kerana percaya.. dia istimewa

Kaut bekalan itu

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلْبَابِ

"Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar:9)

Hampir 6 bulan di bumi Indonesia. Detik-detik yang saya lalui ini dihadam dengan baik penuh kesyukuran. Orang alim pernah berpesan “hargailah segala waktu yang diberi dan nikmatilah. Percayalah dengan menikmati segala waktu yang ada, kamu rasa hidup lebih berharga”.

Meninggalkan sekali lagi kampung halaman itu untuk mengejar cita yang jauh meninggi saya ‘terbang’ pula ke bumi Indonesia. Bumi yang punya umat Islam yang paling ramai sekali di dunia ini menjadi singgahan sementara rehlah ilmu ini dalam meniti hari untuk berbakti pula kepada masyarakat.
Kiyai Hj Daud, 30 Tahun timba ilmu di Mekkah. Moga Allah rahmati guru ini

Inilah Indonesia, mungkin namanya tidak se-GAH negara-negara di timur tengah. Mesir, Jordan, Syiria tetapi saya yakin Indonesia punya kelebihan ilmu yang tersendiri. Ini adalah rehlah ketiga saya ke tempat orang setelah tamat sekolah menengah di Perlis, diploma di Terengganu sekarang, ijazah di Indonesia.



Majlis makan sempena Maulid Rasul SAW



Sahabat-sahabat seperjuagan














Saya mengikut satu persatu langkah-langkah ini walau adakala ditanya oleh rakan-rakan “bro, leceh kan ambil diploma, then sambung degree. Merangkak-rangkak kau”. Saya yakin dalam rangkakkan saya ini saya terima penuh manfaat. Tidak satu yang disesal dalam hidup. Mungkin saya tidak sebijak rakan-rakan yang mampu untuk terus berlari. Saya sedar pada naifnya diri untuk mula dari langkah yang kecil.

Live your life without regret

Menyesali sesuatu kesilapan perlu sebagai pengajaran. Tetapi menyesali atas pilihan yang dibuat berdasarkan istikharah yang baik itu satu KESILAPAN. Pilihan adalah kayu ukur hubungan akal dan hati kita. Bagaimana, ia berhubung dengan baikkah? atau kita masih lagi terawang-awang dengan andaian.

Ramai kawan yang saya jumpa, tambah-tambah pada bab pertunangan. Dulunya itulah pilihannya yang sejati. “Aku dah istikharah dan memang aku nampak hanya DIA segala harapanku”. Namun selang beberapa bulan hati mereka mula berbolak balik atas pilihan. Katanya itu pilihan yang gopoh, pilihan yang pada nafsu bahkan hanya mainan hati.

Soalnya bagaiaman pelaksanaan istikharah kamu pada yang masa lampau. Benarkah di-is-ti-kharah atau hanya melepas lelah pada bebanan dalam pilihan. Istikharah tidak pernah salah, yang salah hanya kita. Kurang mujahadah!









Mengapa ia istimewa? Kerana percaya…

Dari Abu Hurairah ra katanya Rasulullah saw bersabda : "Kaya itu bukan kerana banyak harta melainkan kaya (yang sebenarnya) ialah kaya hati (cukup yang ada)”
HR: Muslim

Kaya hati lebih tenang ia dari kaya harta. Kaya harta risau takut-takut harta itu dicuri dan disamun. Kaya hati tidak risau pada samunan manusiawi bahkan dia pula yang berjaya ‘mencuri’ hati-hati manusia untuk lihat matlamat yang jauh pada ukhrawi.

Pilih segala macam pilihan dengan hati nurani yang bersih dan jiwa yang tenang. Mana bisa jiwa yang kacau mampu untuk memilih dengan damai.  Sesuatu pilihan itu jadikannya sebagai suatu yang istimewa. Dengan apa? Dengan yakin pilihan itu sendiri adalah istimewa.

Biar segala urusan, Allah jua yang membimbing kita. Yakini dunia tempat segala macam pilihan. Pilihlah segala macam pilihan itu untuk menjadikan kita yang terpilih di dalam syurganya nanti. Terpilih itu lebih menyerlah, dipilih pula oleh Rabb tuhan kekal abadi.

Jambi, Indonesia @ 10.25 PM
21 Januari 2014




Sunday, January 19, 2014

Kerna lelaki bukan 'sang robot'.



Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sampai hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” 

 (HR al-Hakim, al-Khathib, Ibn Abi ‘Ashim dan al-Hasan bin Sufyan).

Hadis di atas jelas menunjukkan, tugas muslim itu mendidik nafsunya. Melatih nafsunya agar terus mengikut pada panduan Islam. Nafsu tidak boleh dijadikan tuan, tetapi kitalah tuan kepada dirinya. Teringat kata-kata ulama hadis Sufyan At-Tsauri:

"Nafsu itu ibarat kuda tungganganmu, jika kamu tak dapat menjinakkan tunggangan mu itu, dia pula akan menunggangmu."

Memang benar nafsu yang baik itu dikawal baik oleh iman yang sempurna. Kita tidak boleh untuk
'menghapuskan' nafsu tetapi mampu 'mengawalnya'. Kawalan nafsu memerlukan petunjuk iman yang bijaksana dalam perilaku.
Syaitan yang selalu menyesatan

Dewasa ini, pemakaian muslimah sangat hebat promosinya. Asal saja namanya jubah terus dikatakan itu adalah cara islamis dan mengikut syariat Islam. Dalam kata lain, dunia sekarang sudah dibohongi jenama jubah itu adalah islamis.

Lambakan manusia penuh berpura-pura mengatakan mereka membuat islamisasi hadhari dan natijahnya mencipta jubah yang berbentuk kontemporari. Mencipta jubah tidak punya masalah, yang masalahnya bagaimana jubah itu dibentuk. Dengan 'tone' warna yang melampau, saiz yang mengikut bentuk badan bahkan amat tipis kainnya. Apakah yang sedang dibawa oleh mereka, suatu pembaharuan dalam islam atau hanya mencipta sebuah lagi fitnah untuk Islam?


Robot yang punya nafsu

Mungkin segelintir wanita (warak sang muslimah) menyangka lelaki-lelaki masjid tidak punya nafsu pada mereka. Wah, lihat saja pada batang tubuhnya. Jubah putih yang disarung, serban yang rapi dililit, tidak terkecuali tasibih yang sentiasa menemani dibalik jari jemarinya. "Pasti mereka malaikat jelmaan manusia". Itu mungkin tanggapan sesetengah wanita.

Sangkaan itu juga mungkin ditambah pada lelaki yang warak ini, mungkin mereka ini adalah 'robot'. Hidupnya bergerak tapi tidak punya nafsu dan perasaan. Ah, pasti bisa saja untuk wanita itu memakai pakaian-pakaian yang 'sedikit' melanggar syarak. Kerna lelaki-lelaki itu tidak punya perasaannya.

Ini yang ramai tersalah pada dugaannya. Meleset sekali pemikirannya. Allah taala menciptakan nafsu adalah sebahagian dari fitrah manusia. Nafsu itu dibentuk sama ada dengan acuan iman atau acuan kederhakaan pada tuhan. Ramai mengangap sang ustaz tidak punya nafsu, masakan tidak bernafsu sedangkan ramai ustaz yang berkahwin dan punya cita-cita mahu mengaut hasil dunia.

Nafsu dididik dengan Islam. Bukan kita yang dididik oleh nafsu. Akal pula memacu nafsu melalui tindakan hati yang bersih.

Jaga pandangan pupuk iman

Memandang yang baik itu menambah iman. Lihat kaabah, wajah kedua ibu bapa bahkan menatap al-Quran itu antara resipi orang-orang terdahulu berjaya dalam menambat pandangannya pada kebaikan.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat Kaabah." 
(HR: Abu Daud)

Manfaatkan nikmat mata yang Allah beri, nikmat nafsu yang dianugerahkan bahkan kecantikan yang dimiliki. Jangan terlalu melampau dalam penggunaannya bahkan jangan dikecilkan sangat pada pelaksanaannya. Bersederhanalah..

Para wanita, saham dosa itu akan terus meningkat jika anda juga giat dalam pemakaian yang sering melanggat syariat. Menyalahkan lelaki saat wanita itu diperlakukan dengan cara hina namun terlupa anda sendiri yang menghinakan diri sendiri dengan pemakaian manusia yang sudah hilang tamadunnya.

Jika negara semakin maju, manusia kian hebat pemikirannya sepatutnya pemakaian itu lebih menutupi, bukan lebih-lebih membukanya. Kurang siuman, jika benda yang sepatutnya ditutup tetapi selamba saja ditayang. Bila orang melihat dia marah, bila suruh lindung tak mahu. Pelik!

Moga kain kafan bukan alas aurat kita yang pertama dan terakhir.

Jambi, Indonesia @ 20 Januari 2014
1.28 P.M