Friday, May 1, 2015

Ilmu tak ajar kau sombong

"Mengaji pun tak habis lagi, ada hati nak keluarkan hukum itu sesat, ini haram dan ini halal. Mengaji bagi habis dulu baru kondem!"

Ini antara dialog yang acapkali kedengaran ketika 'mereka' kehilangan idea untuk menjawab hujah di atas hujah dan dalil ke atas dalil. Ini buah K.O. Ayat ini mematikan segala perbincangan yang harmoni.

Ironinya, ungkapan di atas tidak pernah difahami oleh golongan ini sendiri. Secara lahiriah, pengajian tidak akan pernah habis walau setinggi mana sijil itu dijulang. Saya tidak faham, takrifan apakah dan atas kredibiliti apakah yang membuatkan seseorang itu sudah selesai pengajiannya dan baru boleh mengeluarkan hujah.




Hakikat menuntut ilmu tidak akan pernah ada 'expired date'. Mati sahaja mampu menghentikan proses pengajian ilmu. Jika orang bertanyakan anda sudah habis mengaji?

Jawab, belum!

Beramal Dengan Ilmu

Ilmu yang tidak diamalkan, umpama pokok yang tidak berbuah. Untuk menjadi hamba yang bertakwa tidak cukup sekadar mengetahui ilmu tetapi perlu merasai. Untuk merasai kita perlu mengamalkan apa yang telah diketahui.

Jangan ghairah menuntut ilmu, tetapi langkahnya kosong matlamatnya kabur. Mencari ilmu hanya inginkan kemasyuran akan membawa kepada dukacita yang nyata. Ilmu untuk beramal bukan hanya menelan teori amalinya dibiarkan. Terlalu ramai yang berbicara tentang ilmu saat ini. Dengan segala macam medium yang ada saat ini, dengan sekali ketik ilmu itu telah tersebar.

Keghairahan menyebar ilmu adalah suatu amalan yang harus dipuji, tetapi bagaimana kaedah mereka dalam mengamalkan itu sangat dipersoalkan. Bagaimana lajunya penyebaran ilmu dan dakwah tetapi lembabnya dalam beramal dengan ilmu ini suatu masalah yang parah.

Tangannya ligat mengetik papan kekunci, menyeru teman di alam maya untuk beribadah kepada tuhan. laungan masjid di sebelah rumah terus diabaikan. Ini bukan praktis ilmu yang baik. Apakah kita terlupa pada firman tuhan di dalam surah al-Saff ayat 2 dan 3.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Apabila ilmu tidak diamalkan bukan sahaja menjadikan diri kita kosong, tetapi menjadikan diri lebih sombong dan lebih bongkak. Tentu saja, sibuk dengan mempelajari ilmu jika tidak ingin beramal lalu apa lagi kalau tidak untuk dimegahkan?

Ilmu Yang Benar

Jika ilmu perubatan yang dipelajari, tentulah yang dirujuk adalah para doktor yang cukup berpengalaman di dalam ilmu perubatan. Jika belajar tentang senibina tentulah arkitek yang hebat adalah gurunya dan ilmu-ilmu yang datang darinya semua terkait dengan senibina. Namun jika ilmu agama yang dipelajari tentulah perlu hadir daripada ulama dan orang-orang yang ahli di dalamnya.

Tentu sekali di dalam agama keteltitian itu harus lebih tinggi berbanding dengan ilmu-ilmu yang lain. Ini agar dipastikan agama datang benar-benar dari al-Quran dan nas-nas hadis. Agama tidak datang denga rekaan cerita rakyat ataupun dongeng. Seperti kisahnya Si Luncai dan labunya, ataupun "Pak Pandir menang sorak". Agama datang dengan cerita dan dalil yang sahih. Bukan dari pandanga-pandangan sembarono. 


Dengan kemajuan yang bertambah pesat ini, masyarakatnya juga turur membangun dari pemikiran yang kuno. Masyarakat yang ada hari ini sudah mula bertanyakan kepada si ustaz tentang dari mana sumber agama itu datang. Saya berpendapat ini adalah usaha yang baik, apabila masyarakat mula cakna terhadap ketulenan agama. In demi meneruskan kesinambungan agama dari tangan-tangan yang mereka-reka urusan agama dan bakal mengubah agama seperti yang berlaku di dalam Kristian dan Yahudi.

Ada sebahagian golongan agama cukup marah bila ditanyakan tentang dalil dan pendapat mereka itu diambil dari kitab mana dan dalil nas apa yang telah digunakan. Kata mereka, ini urusan orang-orang agama, si awam jangan masuk campur!"

Si awam ternayata tidak bersalah, dia hanya menyoalkan dari mana ilmu agama itu diambil dan bukannya menyoal perkara yang merosakkan ibadah. Ternyata jika ruang pertanyaan ini cuba ditutup oleh sebilangan ustaz-ustaz yang mengajar di masjid atau mana-mana pusat pengajian, Islam akan tampak benar-benar agama yang mengikut buta.

Si ustaz akan terus angkuh dengan ilmu, si awam akan terus meraba-raba mencari asal agama. Para ustaz bukan punca aslinya agama, mereka hanya wasilah... dan ketika mereka tahu keberaadan mereka hanyalah sekadar membantu menyampaikan agama maka dia layak disoal.

Persoalan wajib ditanya jika kita tidak mengetahui atau memahami sesuatu isu atau sangsi terhadap sesebuah kenyataan. Bukan di telan bulat-bulat. Soal agama harus disoalkan dari mana dalil itu diambil dan apakah ia benar-benar dari agama itu harus disoalkan. Agama bukan sebagai ikutan buta. Ia adalah ikutan yang jelas dan yakin. Kita ada pilihan, pilihan untuk bertanya!

Lebih sudu dari kuah

Tanpa dinafikan, dunia teknologi yang serba moden ini sememangnya akan memudahkan urusan ketika menyebarkan sebarang maklumat. Baik ia maklumat yang bermanfaat atau sekadar gosip murahan. Dalam kemudahan ini dengan hanya menekan butang 'foward/share' sesebuah maklumat itu mampu untuk dikongsi kepada ratusan bahkan ribuan manusia.

Tanpa menyelidiki apakah isi maklumat yang ingin disampaikan itu benar-benar di ambil dari sumbernya atau hanya khabar angin yang bertiup di sekelilingnya. Ini membimbangkan pada segelintir golongan yang terlalu cakna dan ghairah ketika menyebarkan maklumat ini. Mereka tidak menyemak ketulenan berita terus di kongsi dengan rakan-rakan yang lain.

Apatah lagi jika ia adalah berita palsu yang melibatkan urusan agama, ini akan menyebabkan agama menjadi parah. Tuntutan berdakwah itu penting bagi seorang muslim tanpa menafikan tuntutan untuk menyelidiki segala maklumat yang diterima supaya tidak menjadi maklumat agama yang palsu.

Cukup merisaukan, bila cerita-cerita palsu tentang agama berlegar-legar di ruang maya dan dai'e-dai'e muka buku tidak henti-henti terus menyebarkan maklumat ini tanpa menyelidiki kesahihan berita itu, ia pasti membawa fitnah kepada agama fitnah terhadap mereka.

Saranan kepada diri dan umunya kepada da'ie di luar. Dalam banyak memberi pengisian kepada orang awam, jangan lupa untuk menerima. Hanya yang ada mampu memberi, jangan lebih sudu dari kuah.

Berubah ke arah kebaikan yang sahih. Ilmu tak ajar kau sombong!

Arif Afifi Mohamad Sukri
Jambi, Indonesia @ 30 April 2015
9.55 p.m








No comments:

Post a Comment