Wednesday, July 23, 2014

Ramadhan- Rahsia yang berharga

"Lihat pokok sujud, cuaca yang mendung, angin sepoi-sepoi dan menjalani hari yang suram. Aku yakin ia malam lailatul qadar......"

Malam yang indah


Menjelang akhir Ramadhan ini, tidak perlu mencanang segala cerita citra anda kononnya telah bertemu dengan malam lailatul qadar. Secara tepat anda membenarkan bahwa malam al Qadar itu wujud, tapi pada sudut lain anda cuba merencatkan ibadah mereka yang lain.




Saya kurang bersetuju, apabila kita terlalu murah menyebarkan tentang suatu malam yang 'mahal' harganya dan pemberian itu khas dari Allah buat hambanya. 


Tindakan ini seolah kita memperlihatkan hanya al Qadar yang kita tuju walhal matlamat hidup insan itu sendiri adalah redha dari tuhannya.


Terlalu banyak penyebaran di laman sosial mendakwa anda telah melalui dan yakin berdasarkan pemerhatian yang malam al Qadar telah berlaku, ini akan menyebabkan....

  • Ramai yang menghentikan "pemburuan" mereka mencari Lailatul Qadar semata - mata kerana terpengaruh dengan dakwaan individu tertentu atau kerana merasakan Lailatul Qadar telah berlaku semalam atau hari ini melalui tanda - tanda yang dia jangkakan seperti angin sepoi - sepoi, rasa tenang dan sebagainya.


  • Ini adalah tindakan yang merugikan. Kerana dakwaan individu kononnya dia dah dapat Lailatul Qadar semalam atau sangkaannya melalui tanda - tanda yang disangka Lailatul Qadar adalah tidak muktamad. Ia mungkin betul atau tidak.



  • Justeru itu, teruskan "pemburuan" mencari Lailatul Qadar sehingga tamat 30 Ramadhan tanpa henti pada setiap malam terutamanya pada sepuluh akhir Ramadhan.



Saya teringat pada pesanan Buya Hamka- 

"Yang utama bukanlah pada tanda-tanda ajaib yang terlihat oleh panca indera tapi pada bagaimana kamu manfaatkan tentang karunia Allah dengan banyak pada malam-malam Ramadhan itu".



Ramadhan adalah hadiah tuhan buat hambanya


Bukan hamba Ramadhan

Kita selalu diingatkan, kita bukan hamba pada mana-mana bulan atau malam. Tapi hamba Allah yang Maha Esa. Ibadah kita tidak terhad hanya untuk satu malam kerana rahmat dan kasih tuhan Maha Luas agungnya.

Ibadah yang dilaksanakan bukan hanya pada Ramadhan, tapi perlu diketahui Ramadhan inilah sekolahnya. 

Amalan pada bulan ini akan membawa sejauh mana kita iltizam dengan ibadah dan bagi membuktikan kita benar-benar bukan hamba Ramadhan sahaja, tapi hamba sepanjang masa.

Pembuktiannya adalah ibadah yang tidak henti-henti. Ia sepanjang masa, seusia zaman.




Tadabbur al Quran mampu menguatkan tenaga

Rahsia yang berharga

Hikmah rahsia malam al Qadar sungguh menguji kita tentang sejauh apakah keberadaan kita dalam menuntut keredhaan dan rahmat Allah. Mukmin yan berjaya tidak hanya mencari malam malam tertentu untuk ibadahnya tapi pada sepanjang hidupnya!

Tentu sekali para salafussoleh zaman dahulu tidak pernah menghitung dan menghebohkan tentang ibadah mereka dengan tuhan. 

Tidak sesekali menjaja kisah dia bertemu dengan malam al Qadar. Hatta nabi sekalipun tidak pernah 'membocorkan' rahsia ini kepada sahabat. 

Jadi siapa kita? jika mudah menjual kisah ini..

Jesturu, jadikan ramadhan ini suatu yang berharga buat kita. Pastikan setiap yang indah berkasih dengan tuhan yang dilalui pada (Ramadhan) ini sebagai sebuah cerita

 'Rahsia yang berharga'.



Jitra, Kedah @4.35 p.m
23/7/2014