Monday, January 26, 2015

Merotan dan Jenayah.. Jika Sazali tahu.

"Kalaulah 10 tahun dulu bapak pukul Sazali, tentu sekarang Sazali tidak jadi begini....tapi sekararang sudah terlambat bapak. Sudah terlambat....."

Menyingkap hikmah Filem "Anakku Sazali"


Dialog filem Anakku Sazali seusia separuh abad itu terus kita ingati saat ini. Bagaimana rasa kasih dan cinta si ayah itu dimenifestasikan dalam bentuk membabi buta. Kasih yang mulia tetapi pengolahan kasih dimaknai hanya semata-mata kasih akhirnya hanya membuahkan sebuah penyesalan dan tangisan.

Filem yang diulang entah berapa kali di layar televisyen itu ingin memperingatkan kita bahwa bertegas dengan anak harus di usia dinihari lagi. Dan salah satu cara mendidik tentu dengan memukul. Memukul sebatas cara sekadar tanda. Bukan mendera!


Mendekati akhir-akhir zaman ini berlaku banyak berita dan kenyataan yang sangat mengelirukan. Baru saja kita dikejutkan dengan cadangan mewujudkan sebuah akta baru dari seorang menteri bahawa ibu bapa yang merotan anak boleh dikira sebagai suatu kesalahan jenayah. Wah, ini parah!

Sazali yang kepala samseng pun menegur kesalahan bapanya kerana tidak merotannya ketika dia kecil. Ini adalah bukti Sazali lebih bijak dan mengerti rotan untuk mendidik ketika usia dinihari bukanlah suatu jenayah!

Berjaya kerana rotan

Soalan yang sama telah saya utarakan kepada beberapa orang sahabat dan guru-guru yang pernah mendidik. Apakah ketika usia mereka kanak-kanak pernah dirotan oleh ibu bapa? Jawab mereka,
"Ya kami pernah dirotan dan akibat rotan inilah buat kami berjaya. Sehingga kini kami tidak menganggap ia jenayah ibu bapa kepada kami."
Mungkin dulu sudah timbul beberapa kes guru didakwa ekoran kesalahan mereka merotan anak murid. Tidak hairan selepas ini jika muncul ibu bapa didakwa atas kesalahan merotan dan bergelar banduan hasil laporan dari anak-anak mereka.

Jika P. Ramlee hidup dia juga pasti berasa sedih seperi mana kesedihan saya membaca kenyataan menteri itu. Betapa negara kita masih dijajah dengan undang-undang yang tidak berada di atas acuan agama dan sosio-budaya ini.

Perihal Abah dan rotan

Masih ingat lagi kenangan yang dulu. Hampir sepuluh tahun peristiwa ini berlaku. Saya merasakan ia suasana tarbiah yang baik cuba dibentuk oleh abah. Seusai solat maghrib, saya dan tiga orang lagi adik akan ke ruang tamu untuk di 'spotchek' oleh abah berkaitan dengan solat kami.

Tentu sekali, rotan ber'salotep' hijau itu sentiasa menemaninya di tangan kanan. Abah akan tanya satu persatu kepada kami apakah solat kami pada hari itu dilengkapi kesemuanya sampai ke Maghrib. Mungkin menyangka boleh cuba menipu, tetapi tidak semudah itu kerana mak akan menjadi juru dakwa kepada kami.

Mak akan menjadi saksi pada kami. Apakah kami telah sempurnakan waktu solat atau belum. Tugasnya adalah dengan menjadi pengawal yang setia di samping kami ketika solat. Abah menetapkan tiada istilah solat di bilik tidur! Hanya boleh solat di ruang tamu. Harus solat ketika mak dapat lihat dan menjadi ini sebagai bukti bahawa kami sudah solat.


Ketika saatnya untuk diperiksa oleh abah. Mak akan ada di sisi abah, tugasnya memujuk kembali adik bongsu yang akan menangis setelah dihukum. Saya? tentunya menangis di dalam bilik. 

Jika jawapan kami lulus dan di iyakan oleh mak, selamat. Namun jika jawapannya tidak. Piapp! rotan itu menghinggap di tangan atau telapak kaki.

Peristiwa ini sudah lama berlalu, namun sehingga kini saya melihat itulah tarbiah yang abah cuba wujudkan. Dia ingin membentuk corak keluarga yang baik dan didikan dengan rotan ketika perlu. Tak pernah abah merotan kami tanpa sebab. Jika rotan itu hinggap, tentunya bersebab!

Jika abah ke luar negeri atas tugasan kerja, mak akan mengambil alih. Kaedah mak agak berbeza. Rotan itu diselawatkan dulu dengan air, kemudian rotan menghinggap tangan. Sakitnya? mungkin kurang sedikit nak dibandingkan dengan abah yang merotan. Berkatnya? saya yakin ada.

Islam dan rotan

Islam adalah agama kasih sayang dan bukan atas nama Islam ibu bapa boleh memukul anak-anaknya. Pukulannya itu tetap punya cara, tetap punya acuan. Pukulan itu bukan kerana marah dan emosi yang menggila, tidak lain sekadar penegasan penuh kasih sayang agar tidak mengulangi kesalahan mereka.

“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Rotanlah di tempat yang tidak sensitif

Dalam Islam sendiri, bukan semua tempat boleh dijadikan tempat untuk dipukul. Memukul anak-anak di bahagian sensitif seperti leher dan muka dan meninggalkan kesan itu tidak sunnah! 

Pukulan dan merotan tentunya bukan cara utama dan tujuan. Cara yang lebih insentif tentunya dengan memujuk dan membawa contoh teladan yang baik kepada anak. Manakala menggantung rotan di dalam rumah adalah sebagai simbol melambangkan ketegasan dalam mendidik bukan mendera.

Islam memberi ruang penuh dalam pendidikan. Hadis di atas menerangkan memukul mereka ketika usia mencapai sepuluh tahun dan memberi peringatan ketika usia tujuh tahun adalah satu singnifikan yang jelas. Tempoh yang diberi selama tiga tahun menunjukkan Islam lebih mengutamakan pendidikan dan nasihat sebelum hukum.

Harapan buat menteri

Sebelum menteri berkenaan menggubal akta baru itu adalah lebih baiknya bertemulah dengan alim ulama'. Tanyalah kepada mereka apakah acuan yang tepat dalam membentuk keluarga yang bebas dari penderaan kepada anak. Bukannya menganggap apa saja kelakuan akibat merotan anak semuanya adalah jenayah.

Saya tertanya tanya, apakah ini nilai moderat (wasatiyyah) yang ingin dipacu oleh negara ini. Harapnya tidak! Kerana nampak kita pula yang menunduk dengan idea-idea liberalisme. Jangan kerana kepentingan peribadi kita menggadai prinsip. Mudah-mudahan Allah memelihara.

Rujuklah jabatan agama, mufi dan mereka yang ber'authority'. Malaysia belum ketandusan lagi cerdik pandai dan pemikir Islam yang kritis. Semoga ke arah yang lebih baik dalam membentuk keluarga yang musleh.

Jambi, Indonesia @ 26 Januari 2015
7.45 PM






No comments:

Post a Comment